Ummul Kitab
Al-Quran ialah imam dan panduan kita. Dalam ayat suci ini, Allah SWT mengajar kita supaya memulakan setiap pekerjaan yang baik dengan menyebut nama Allah SWT, iaitu dengan membaca basmalah, semoga pekerjaan kita diberkati oleh Allah SWT dan berjaya. Dengan melakukan yang demikian bermakna kita menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT sesudah kita berusaha dan berikhtiar. Allah SWT ialah nama khas bagi zat Tuhan Yang Wajib al-Wujud yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya. Kalimah Allah ini dinamakan Lafzul Jalalah, iaitu kalimah yang menunjukkan kebesaran Allah dan juga dinamakan Sultanul Asma, iaitu Raja segala nama Tuhan. Ar-Rahman (Yang Maha Pemurah), ar-Rahim (Yang Maha Pengasih) kedua-duanya antara nama Allah (Asmaul Husna) yang menunjukkan bahawa Allah SWT amat melimpah rahmat-Nya kepada makhluk-Nya.