Ummul Kitab

Menurut hadis Nabi SAW, orang yang dimurkai itu ialah kaum Yahudi dan orang yang sesat ialah kaum Nasrani. (Tafsir al-Alusi, 1:90). Ada juga ahli tafsir yang memberikan huraian lanjut mengenainya. Menurut Sahibul Fadhilah Datuk Haji Muhammad Noor (penyemak kitab tafsir ini) bahawa kesimpulannya seperti yang berikut: Orang yang dimurkai Allah SWT ialah orang yang mengingkari atau menyembunyikan sesuatu perkara agama yang telah diketahuinya betul atau benar atau orang yang tidak mahu menerima sesuatu hukum agama yang sampai kepadanya dengan keterangan yang sah kerana beberapa sebab yang mempengaruhi jiwanya seperti perasaan taksub atau fanatik kepada sesuatu pendapat, keinginan menjaga nama dan taraf, keinginan memelihara keadaan dan kedudukannya yang turun-temurun atau fikiran hendak menghormati sesuatu keadaan masyarakat. Orang yang sesat ialah orang yang tidak berpengetahuan agama kerana tidak berusaha untuk mempelajari atau orang yang pengetahuan agamanya tidak betul kerana dipelajarinya tanpa menurut peraturan dan jalan yang sebenarnya. Orang tersebut jika mereka tidak sesat dalam urusan kebahagiaan hidup dunia kerana sihat pancainderanya
dan tepat pendapat akal mereka pada zahirnya, maka mereka pasti akan sesat dalam urusan kebahagiaan hidup di akhirat. Hal ini kerana pengetahuan agama Allah SWT sahaja yang mampu menunjuk dan
membimbing hamba-Nya ke jalan kebahagiaan akhirat.